Kekecohan DUN 7 Mei Krisis politik Perak 2009

Persidangan pertama semenjak rampasan kuasa sepatutnya dirasmikan pada 7 Mei 2009 tetapi diganggu kekecohan, apabila Speaker V. Sivakumar enggan memulakan persidangan selagi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, enam Exco dan tiga ahli Bebas tidak meninggalkan Dewan dengan alasan keanggotaan mereka telah digantung, tetapi arahan Speaker langsung tidak diendahkan. Zambry kemudian berdiri dan membuat usul memecat Sivakumar selaku Speaker, dan ini disokong 27 ahli BN dan tiga ahli Bebas dengan cara mengangkat tangan. Bagaimanapun Sivakumar berkata, beliau menolak usul itu dan menjelaskan Zambry tidak boleh mengemukakan usul kerana telah digantung. Zambry kemudian mengulangi membuat usul yang sama dan sekali lagi disokong ahli BN dan tiga ahli Bebas. Sivakumar mengarahkan Bentara Dewan supaya membawa keluar 10 ahli itu, tetapi Zambry berkata, Sivakumar kini telah dipecat.[15]

Zambry kemudian mengusulkan supaya bekas ADUN Sungkai, Datuk R Ganesan, dilantik sebagai Speaker yang baru dan ini disokong ahli BN dan Bebas. Ganesan kemudian meneruskan persidangan di kalangan penyokong BN dengan menerima empat lagi usul iaitu usul pelantikan anggota baru bagi tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Perintah Tetap; Jawatankuasa Hak dan Kebebasan; dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri serta usul membatalkan persidangan DUN Perak 'di bawah pokok' yang dipengerusikan oleh Sivakumar dan kumpulan yang diketuai Mohammad Nizar pada 3 Mac lalu.[15]

Pada 2.41 petang hari itu[16], Sivakumar diheret oleh kumpulan polis dari dalam dewan ke satu tempat yang tidak didedahkan pada petang ini. Sementara itu, Datuk R Ganesan, speaker baru lantikan BN, memulakan persidangan dewan dengan meminta seorang pegawai DUN membacakan doa. Beliau juga mengarah keluar dua ADUN Pakatan, iaitu Chan Ming Kai (PKR-Simpang Pulai) dan Chang Lih Kang (PKR-Teja) - tetapi mereka enggan berbuat demikian. Speaker itu menangguhkan dewan bagi menunggu keberangkatan tiba Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah.[17]

Pada 3.15 petang, Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah akhirnya berangkat ke dalam dewan untuk majlis rasmi pembukaan persidangan DUN, kemudian bertitah kepada Datuk Seri Nizar dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan), sebelum berucap selama setengah jam, menyentuh isu ekonomi, agama dan wabak selesema A(H1N1).[16][18]

Rujukan

WikiPedia: Krisis politik Perak 2009 http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news.php?id=3... http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php... http://pasberuas.blogspot.com/2008/07/kerajaan-pr-... http://www.malaysiakini.com/news/103763 http://www.malaysiakini.com/news/103800